Home Buletin Semasa RON95 BERSUBSIDI RM1.99 SELITER MULAI HARI INI, MANFAAT SUBSIDI CECAH RM183 SEBULAN

RON95 BERSUBSIDI RM1.99 SELITER MULAI HARI INI, MANFAAT SUBSIDI CECAH RM183 SEBULAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula hari ini, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter, manakala rakyat Malaysia yang layak akan menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter.

MOF dalam kenyataan memaklumkan melalui pendekatan penyasaran subsidi ini, pengguna dapat menikmati manfaat sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter sebulan, subsidi tersebut boleh mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.

“MOF menegaskan, harga runcit RON95 akan kekal pada RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025, dengan penetapan harga runcit mingguan petroleum menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober ini, harga runcit produk petroleum adalah membabitkan petrol RON97: RM3.21 seliter (kekal), petrol RON95 bersubsidi (BUDI95): RM1.99 seliter, petrol RON95 tanpa subsidi: RM2.60 seliter, petrol RON95 bersubsidi sektor pengangkutan awam & barangan (SKPS): RM2.05 seliter, diesel Semenanjung Malaysia: RM2.93 seliter (kekal) dan diesel Sabah, Sarawak & Labuan: RM2.15 seliter (kekal),”menurut kenyataan itu semalam.

Dalam kenyataan itu, kerajaan turut memberi jaminan untuk memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta menyesuaikan langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Sementara itu, bagi pemandu e-hailing, Kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) untuk mengenal pasti pemandu yang layak mendapat had kelayakan tambahan petrol bersubsidi.

“MOF bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memuktamadkan proses tersebut minggu ini.

“Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot, khususnya di Sabah dan Sarawak, turut layak menikmati harga bersubsidi,”jelas kenyataan itu.

MOF berkata data pemilik bot sedang dikumpulkan dengan kerjasama agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada manfaat program BUDI95.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here