Home Buletin Semasa LEBIH 21,000 KUNJUNGI PAMERAN ARKIB CHUNG CHEN SUN, TEMPOH DILANJUT HINGGA DISEMBER

LEBIH 21,000 KUNJUNGI PAMERAN ARKIB CHUNG CHEN SUN, TEMPOH DILANJUT HINGGA DISEMBER

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun di Balai Seni Negara terus mencuri perhatian apabila merekodkan lebih 21,000 pengunjung sejak dibuka pada 4 Mac lalu.

Balai Seni Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan ekoran sambutan luar biasa itu, Balai Seni Negara memutuskan untuk melanjutkan tempoh pameran sehingga 29 Disember depan, sekali gus memberi peluang lebih ramai pengunjung mendalami warisan seni dan pendidikan tokoh tersohor berkenaan.

“Pameran yang berlangsung di Galeri Potret itu menghimpunkan pelbagai bahan dokumentasi penting termasuk foto, lakaran, katalog, rakaman wawancara serta koleksi karya seni dakwat Cina, lukisan minyak dan pastel Chung Chen Sun yang jarang dipamerkan kepada umum.

“Keseluruhan pameran disusun berasaskan kerangka falsafah Konfusianisme, memaparkan perjalanan seni beliau dari konteks nasional hingga antarabangsa, selain menyoroti peranannya sebagai pengasas Malaysian Institute of Art (MIA) dan sumbangan besar dalam bidang pendidikan seni negara,”menurut kenyataan itu.

Balai Seni Negara dalam kenyataannya berkata, pelanjutan tempoh ini selaras dengan usaha memperkukuh pendokumentasian seni visual Malaysia serta memastikan legasi tokoh seni seperti Chung Chen Sun terus dikenali dan dihargai generasi kini dan akan datang.

Orang ramai dijemput hadir ke pameran yang berlangsung sehingga 29 Disember depan di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.artgallery.gov.my atau melalui media sosial rasmi Balai Seni Negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here