Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan terdapat kenderaan pelancongan dan persendirian dari luar negara membawa penumpang tanpa permit sah.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata sehubungan itu pihak JPJ Kelantan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bekerjasama bagi mengesan kenderaan asing yang menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk tujuan pelancongan, menerusi Ops Tunggak yang dilaksanakan pada Ogos lalu.

“Kita dapati aktiviti kenderaan asing membawa pelancong masih aktif di negeri ini.
“Ia merupakan satu kesalahan, dan tindakan akan diambil atas penyalahgunaan ICP,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Program Sukan Merdeka Persatuan Institut Memandu Kelantan (PIMK) dan JPJ di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Kelantan, di sini, hari ini.
Tambah beliau, JPJ akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa, terutamanya apabila menerima aduan daripada orang ramai.
Katanya sebelum ini dua buah kenderaan termasuk sebuah van pelancong disita atas kesalahan sama namun sudah membuat pembayaran daripada sejumlah saman yang tertunggak.
Beliau sebelum ini merasmikan Program Karnival Sukan Merdeka PIMK & JPJ di KBS, di sini, hari ini.

Katanya, pada program itu, seramai 15 insititut memandu di Kelantan terbabit dalam perbarisan bertemakan Hari Malaysia.
“Kelantan adalah pelopor bagi program seumpama ini sekaligus boleh mengeratkan hubungan strategik antara PIMK dan JPJ,” katanya.
IMedikel TV






