Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan kawalan keselamatan di semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di Bintulu, Sarawak diperketatkan serta-merta susulan penerimaan laporan berhubung ancaman keselamatan.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan semalam memaklumkan langkah berkenaan adalah tindakan proaktif bagi membolehkan siasatan segera dilakukan oleh pihak keselamatan dan pihak berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai kenyataan ini. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
MKN turut menegaskan bahawa semua agensi keselamatan negara berada dalam kesiapsiagaan penuh dan telah mengambil langkah kawalan bagi berdepan sebarang kemungkinan.
IMedikel TV




