JAKARTA: Gabenor Jakarta, Pramono Anung, mengesahkan keadaan di ibu kota kini kembali stabil selepas dua minggu seuruh Indonesia dilanda demonstrasi besar-besaran.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, beliau menegaskan masyarakat boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa sebarang halangan dan acara keagamaan seperti Jakarta Bersholawat juga menjadi momentum penting untuk memperkuat jiwa masyarakat dan mengeratkan hubungan warga Jakarta.
“Kawasan Monumen Nasional (Monas) kini terbuka kepada semua bentuk kegiatan keagamaan merentasi pelbagai agama dan komitmen.
“Ini turut dipersetujui bersama Timbalan Gabenor Jakarta, Rano Karno, sebagai usaha memperkukuh ruang untuk bersatu dan tolak ansur di ibu kota,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri acara Jakarta Bersholawat sempena Maulidur Rasul dan doa kebangsaan anjuran Majelis Nurul Musthofa di kawasan Monas, Jakarta Pusat, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sejak Isnin lalu, pengendali perkhidmatan pengangkutan awam sudah diarah untuk menyambung semula operasi, termasuk transit aliran massa (MRT) dan tren transit aliran ringan (LRT), bas Transjakarta dan minivan Mikrotrans.
“Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kerajaan wilayah Jakarta mengecualikan bayaran tambang bagi perkhidmatan MRT dan Transjakarta sehingga 8 September ini sebagai usaha meringankan beban rakyat.
“Bagaimanapun kes rusuhan baru-baru ini telah merosakkan beberapa kemudahan dan infrastruktur pengangkutan awam, termasuk 22 hentian bas Transjakarta serta sebuah stesen MRT.
“Kerja-kerja pembaikan sudah dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang esok,” katanya.
Malah keadaan pagi ini pada program Hari Bebas Kenderaan Bermotor (CFD) di sekitar Bundaran HI, Jakarta Pusat, dilaporkan meriah dan dipenuhi warga kota melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki dan berlari.
Turut kelihatan, ramai ibu bapa membawa anak-anak kecil untuk turut serta dalam aktiviti senaman, menandakan suasana aman dan kondusif kembali selepas ketegangan yang berlaku sebelum ini. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






