Home Buletin Semasa KPKM GESA BUMIPUTERA REBUT PELUANG KOMERSIAL TANAMAN DURIAN

KPKM GESA BUMIPUTERA REBUT PELUANG KOMERSIAL TANAMAN DURIAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa masyarakat Bumiputera memanfaatkan tanah milik mereka dengan mengusahakan tanaman durian secara komersial.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata durian kini menjadi antara buah eksport bernilai tinggi terutamanya di pasaran antarabangsa khususnya China dengan permintaan yang semakin meningkat sejak tahun lalu.

“Sebanyak 95 peratus jutawan durian adalah daripada kaum China kerana mereka telah berjaya memonopoli pasaran ini.

“Durian seperti Musang King dan Blackthorn mampu dijual dengan harga sehingga RM200 sebiji, menjadikan tanaman ini sangat berpotensi besar menjana pendapatan tinggi.

“Orang Melayu juga ada tanah yang subur, jadi, kita mahu mereka manfaatkan peluang ini supaya tidak ketinggalan dalam saingan pasaran durian yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Agrobank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Menurut beliau, nilai eksport durian dijangka mencecah RM1.8 bilion menjelang 2030, manakala sejak September tahun lalu, eksport ke China sahaja sudah mencapai RM1 bilion.

Mohamad berkata, peminat durian di luar negara bukan sahaja menggemari buah segar, malah pelbagai produk berasaskan durian turut mendapat sambutan tinggi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM sedang menjalankan kajian berkaitan beras tempatan yang kini kurang mendapat sambutan berbanding beras import.

“Harga beras import tidak jauh berbeza dengan beras tempatan, menyebabkan orang ramai beralih kepada beras import. Justeru, KPKM akan terus mempergiat kempen makan beras tempatan bagi menggalakkan pengguna menyokong hasil tempatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here