Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyaksikan lapan majikan termasuk daripada artis menerima penghargaan kerana menjaga kebajikan pekerja tanpa culas dengan membayar caruman serta membina empayar perniagaan masing-masing.
Majikan Pesona Lindung atau ikon yang diberikan penghargaan adalah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Neelofa, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri serta pasangan, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.
Bagi Aeril dan Wawa, penghargaan yang diterima turut menyuntik semangat buat mereka untuk terus menjaga kebajikan pekerja.
Pengasas jenama Wawa Cosmetics itu turut digelar ‘majikan dari syurga’ pada acara berkenaan.
Wawa berkata, dia gembira dan bersyukur dengan penghargaan yang diberikan PERKESO itu.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan diberikan. Pekerja adalah tanggungjawab majikan. Jadi, kami perlu sama-sama berikan perhatian kepada kebajikan kakitangan kami sendiri.
“Saya pun tidak kira jumlah yang dibelanjakan untuk kebajikan pekerja setakat ini. Bagi saya, kalau tak mencarum rasa seperti berdosa pula. Ini adalah perkara wajib,” katanya selepas menerima penghargaan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada acara yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Aeril pula berkata, kebajikan pekerja tidak seharusnya dipandang ringan khususnya dalam aspek caruman PERKESO kerana mereka ibarat tulang belakang syarikat.
“Bagi saya, ia adalah perkara yang wajib dilaksanakan setiap majikan. Bila kami mencarum dengan PERKESO, pekerja kami bukan saja dilindungi syarikat sendiri, tetapi jika ada sesuatu berlaku di luar mereka tetap dilindungi.
“Mungkin ada majikan yang kurang cakna atau langsung tidak mencarum buat pekerja mereka. Saya percaya, kalau kita menjaga kebajikan pekerja, insya-Allah, segala urusan kita akan dipermudahkan Allah,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






