Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hubungan erat antara Kelantan dan Terengganu sejak dahulu bukan sahaja terjalin melalui bahasa, adat serta jaringan keluarga malah diperkukuh dengan ikatan ilmu yang diwarisi berabad lamanya.
Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pertukaran kitab, penyalinan naskhah, serta tradisi menuntut ilmu antara ulama dua negeri itu telah membentuk ekosistem keilmuan serantau di Pantai Timur, menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai pusat perkembangan Islam dan pengetahuan.

“Naskhah Melayu disebut sebagai bukti bahawa orang Melayu bukan bangsa yang jumud, sebaliknya memiliki tradisi ilmu tersendiri melalui karya ulama besar seperti Tok Kenali di Kelantan dan Tok Pulau Manis di Terengganu.
“Karya mereka dalam fiqh, syarah hadis, tasawuf, syair dan hikayat adalah cerminan tamadun, memaparkan pemikiran, nilai serta harapan masyarakat terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Seminar Sejarah hubungan Kelantan-Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu, di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa warisan besar ini kini berdepan cabaran apabila banyak naskhah lama rosak, hilang atau tidak dikenali generasi muda yang lebih mesra dengan gajet berbanding tulisan tangan ulama silam.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita mendokumentasikan, mendigitalkan dan menafsir isi kandungan naskhah agar dapat difahami serta dihayati oleh generasi hari ini,”katanya.
Pada seminar itu, MAIK turut melancarkan dua penerbitan penting buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintahan dan Pentadbiran Sehingga 2020 yang memenangi Anugerah Buku Kelantan 2025 (Kategori Bukan Fiksyen Dewasa Terbaik), serta buku baharu Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri.

Seminar yang dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pensyarah institusi awam dan swasta, penuntut Institusi Pendidikan Guru (IPG) Malaysia cawangan Kota Bharu, penyelidik, budayawan dan sejarawan dari Malaysiaa dan Pattani itu diharap dapat memperkukuh jati diri bangsa serta menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap sejarah dan warisan Islam-Melayu.
IMedikel TV






