Home Sukan DRAMA PERPINDAHAN ISAK HANGATKAN AKSI LIVERPOOL-NEWCASTLE

DRAMA PERPINDAHAN ISAK HANGATKAN AKSI LIVERPOOL-NEWCASTLE

162
0

LONDON: Liverpool akan berkunjung ke Newcastle United pada awal pagi Selasa ini dalam suasana hangat berikutan kemelut perpindahan yang menyaksikan The Reds berusaha mendapatkan penyerang Alexander Isak daripada The Magpies.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, setakat ini, Newcastle usaha Liverpool, namun, Isak melalui media sosial secara terbuka menyuarakan hasrat untuk berpindah ke juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, selain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelabnya kerana menghalang perpindahan terbabit.

Akibatnya, penyerang Sweden itu yang menjaringkan 23 gol pada aksi liga musim lalu berlatih secara berasingan daripada skuad utama Newcastle yang kini sedang membuat persiapan menentang Liverpool, lawan yang pernah mereka tewaskan dalam final Piala Liga 2025, kejayaan yang menamatkan kemarau trofi utama selama 70 tahun.

Pengurus, Eddie Howe mengesahkan Isak tidak akan beraksi Selasa ini. Namun beliau berharap penyerang itu boleh kembali ke pasukan kerana tiada permusuhan peribadi antara mereka.

“Saya rasa ini adalah situasi kalah/kalah untuk kami kerana saya tidak fikir kami boleh keluar sebagai pemenang dalam apa jua keadaan.

“Kami sayangkan Alex atas segala yang sudah dia lakukan sejak berada di kelab ini, sumbangannya, profesionalismenya, segalanya,” kata Howe kepada pemberita, Jumaat lalu.

Tanpa Isak, Newcastle sekadar seri 0-0 menentang Aston Villa dalam aksi pembukaan liga walaupun mencipta lebih banyak peluang.

Bagaimanapun, kejayaan menjuarai Piala Liga serta keputusan seri 3-3 menentang Liverpool dalam aksi liga di St James’ Park musim lalu boleh menjadi tonik keyakinan mereka untuk sekali lagi mencipta keputusan positif.

Pengurus Liverpool, Arne Slot pula sedar cabaran menanti di St James’ Park meskipun isu Isak tidak menjadi topik utama.

“Tiada kaitan dengan apa yang banyak diperkatakan di media, tetapi saya fikir jika anda pergi ke Newcastle, anda tahu apa yang akan menanti,” kata Slot, Khamis lalu. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here