Home Hiburan ANAK TUNGGAL ERRA FAZIRA, ENGKU EMRAN RAIH 7A IGCSE

ANAK TUNGGAL ERRA FAZIRA, ENGKU EMRAN RAIH 7A IGCSE

300
0

KUALA LUMPUR: Bekas suami primadona terkenal Erra Fazira, iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan rasa bangga apabila anak tunggal mereka, Engku Aleesya, meraih keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Engku Emran, 50, menyifatkan kejayaan Aleesya sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya yang selama ini mencurahkan sepenuh kasih sayang dan pengorbanan demi memastikan anak tersayang berjaya dalam pelajaran.

“Ini penghargaan buat satu-satunya anak saya, Aleesya. Terima kasih kerana mengisi hati saya dengan rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga,” katanya menerusi hantaran di Instagram (IG).

Akui Emran, sepanjang 11 tahun persekolahan Aleesya, beliau tidak pernah terlepas mengikuti perjalanan akademik puterinya itu.

“Saya hadir ke setiap sesi pertemuan ibu bapa, malah bersorak untuk setiap larian yang kamu sertai. Semuanya kerana kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ayah,” luah Emran.

Dalam perkongsian sama, Emran turut mengimbas detik getir yang pernah mereka tempuhi bersama, termasuk berjaga hingga lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran, selain mengharungi kesesakan lalu lintas demi menghadiri kelas tambahan.

“Hari ini, kamu buktikan segala pengorbanan itu tidak sia-sia. Terima kasih, Aleesya, kerana menjadikan hari ini hari paling bermakna dalam hidup saya.

“Tahniah atas 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal merendah diri dan jangan lupa asal-usul,” titipnya.

Terdahulu Erra turut memberikan ucapan tahniah di media sosial dengan meluahkan rasa bangga atas pencapaian anak gadis kesayangannya itu.

“Salah satu detik paling tidak akan saya lupakan. Saya bangga dengan kamu, anak!

“Terima kasih kepada semua guru yang membantu Aleesya berjaya dengan cemerlang, serta keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan kejayaannya,” tulis Erra.

Erra dan Engku Emran mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007, namun berpisah secara baik pada 18 Februari 2014 selepas tujuh tahun hidup bersama.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya, 16. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here