Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pasukan peguam yang mewakili pihak keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir meemohon agar Peguam Negara menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja yang didakwa membuli mangsa tersebut.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pihak peguam memaklumkan mereka baru dimaklumkan bahawa kesemua remaja terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, mereka memohon agar pendakwaan ditangguhkan sementara, dengan alasan kes itu wajar dipertimbangkan semula untuk dibawa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat sekiranya terdapat bukti mencukupi.
“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan. Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,”jelas kenyataan itu.
Peguam juga menegaskan, langkah menangguhkan pendakwaan akan membolehkan siasatan lanjut atau inkues dijalankan dengan lebih menyeluruh.
“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar DOUBLE JEOPARDY yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,”menurut kenyataan itu.
Bagi tujuan itu, satu surat rasmi sudah dihantar kepada Peguam Negara pada pagi ini melalui emel.
IMedikel TV






