Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 105 daripada 120 peserta berjaya menamatkan Kursus Asas Permata (KAP) 2024 dan menerima sijil graduasi selepas mengikuti latihan intensif selama tiga bulan.
Memetik laporan UPKN, kursus berkenaan dijalankan setiap Jumaat dan Sabtu, merangkumi 41 modul asas asuhan kanak-kanak, dengan tempoh pembelajaran keseluruhan selama 28 hari.
Majlis Graduasi KAP 2024 yang berlangsung di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa profesion pengasuh adalah pekerjaan yang sangat mulia kerana amanah mengasuh manusia sejak usia satu minggu sehingga empat tahun.

“Para pengasuh hendaklah merasakan pekerjaan yang dikurniakan Allah SWT ini sebagai satu pekerjaan yang hebat dan jangan memperlekehkannya. Pekerjaan ini mampu membentuk manusia daripada tidak tahu apa-apa kepada tahu,” katanya.
Jelasnya, pengasuh perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang betul agar anak-anak yang diasuh membesar secara seimbang mengikut fasa perkembangan.
“Kita mahu anak-anak di bawah jagaan kita berkembang mengikut proses yang ditetapkan dan menjadi insan yang baik. Oleh itu, para pengasuh mesti mempelajari ilmu asas pendidikan anak-anak,”katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para peserta sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka melengkapkan diri dengan kemahiran dalam bidang pengasuhan awal kanak-kanak.
IMedikel TV






