LOS ANGELES: Bintang Jepun, Akie Iwai, tampil cemerlang dengan enam birdie untuk mencatat enam bawah par 66 sekali gus menjuarai Klasik Portland dengan kelebihan empat pukulan, serta bergelar juara sulung LPGA pada musim rookie bersama kembarnya, Chisato.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, bermula dengan kelebihan dua pukulan di Edgewater Country Club, Akie tidak sekali pun gugup untuk menamatkan saingan dengan jumlah keseluruhan 24 bawah par 264.
Chisato cuba memberi tekanan dengan catatan lapan bawah par 64, namun tempat kedua akhirnya menjadi milik pemain Amerika Syarikat (AS), Gurleen Kaur, yang tampil tanpa bogey dengan tujuh bawah par 65 untuk jumlah 268.
Gurleen, bekas bintang golf kolej AS, membuka saingan dengan tiga birdie berturut-turut sebelum menambah empat lagi dalam pusingan terbaik kariernya di LPGA.
Bagi Akie, kemenangan ini meletakkannya sebagai pemenang sulung ke-10 musim ini dan pemain Jepun kelima yang bergelar juara.
Dia mengakui turut berasa tertekan untuk mengikuti jejak rakan senegara, namun lebih banyak menerima inspirasi daripada kemenangan kembarnya, Chisato, di Terbuka Riviera Maya, Mexico, Mei lalu.
“(Chisato) benar-benar memberi inspirasi kepada saya. Itu sebabnya saya berikan yang terbaik tahun ini,” kata pemain ranking ke-29 dunia itu yang pernah muncul naib juara di Thailand dan Kejohanan LA.
Akie bermula tenang dengan birdie berturut-turut di lubang kelima dan keenam sebelum menambah dua lagi di lubang ke-11 dan 14.
Selepas menyelamatkan par di lubang 16, dia menutup saingan penuh bergaya dengan birdie di lubang 17 dan putt sejauh 18 kaki di lubang terakhir.
“Hari ini saya berjaya menewaskan diri saya sendiri,” katanya penuh emosi. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






