SPIELBERG: Marc Marquez kembali membuktikan status legenda apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut musim ini di Grand Prix (GP) Austria sekali gus menjadi juara bersejarah perlumbaan ke-1,000 kelas perdana MotoGP.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, kejayaan itu lebih manis buat juara dunia enam kali berkenaan kerana ia adalah kemenangan sulungnya di Litar Red Bull Ring, trek yang sebelum ini menyaksikan dia sering dikecewakan jentera Ducati ketika masih menunggang Honda.
Marquez, yang pernah berdepan detik suram selepas menjalani empat pembedahan akibat patah lengan, masalah penglihatan berganda dan beberapa kecederaan lain antara 2020 hingga 2023, kini kembali bangkit selepas menyertai Ducati.
“Saya selalu kalah dengan jentera merah… tetapi kini saya sendiri menunggang jentera merah itu,” kata Marquez sebelum perlumbaan, sebagai isyarat amaran kepada pencabar lain.
Walaupun bermula dari barisan kedua selepas terjatuh ketika sesi kelayakan, Marquez menampilkan aksi penuh keyakinan.
Dia mengekori rapat pelumba VR46, Marco Bezzecchi, sebelum memintasnya di selekoh pertama dan meninggalkan pencabarnya dengan kelebihan nyata biarpun tayar mula haus.
Dengan baki sembilan pusingan dan kelebihan 142 mata mengatasi adiknya, Alex, kini dilihat hampir pasti menggenggam gelaran dunia ketujuh, sekali gus menyamai pencapaian Valentino Rossi dalam senarai legenda MotoGP.
“Saya rasa seperti dilahirkan semula. Dulu ketika menang enam berturut-turut pada 2014, saya baru 21 tahun. Kini saya 32 tahun. Dari mana saya datang, apa yang berlaku sebelum ini… kemenangan ini sangat luar biasa,” kata Márquez.
Sementara Marquez terus gah, nama besar lain kian pudar.
Rakan sepasukan Francesco Bagnaia, juara dunia dua kali dan poster boy Ducati, gagal menyaingi kehebatan kali ini, meskipun pernah tiga tahun berturut-turut tidak terkalahkan di Austria.Juara bertahan Jorge Martin yang kini bersama Aprilia juga masih jauh ketinggalan.
Bekas juara dunia, Casey Stoner, mengakui Marquez masih memiliki sentuhan generasi lama yang sukar disaingi pelumba muda.
“Pelumba generasi lama tahu cara mencari cengkaman, tahu bagaimana mengawal jentera tanpa bergantung sepenuhnya kepada elektronik. Marc ada naluri itu. Dia tahu di mana tahap cengkaman dan boleh meramalkannya, lalu menunggang melebihi kemampuan jentera,” kata Stoner.
Kemenangan demi kemenangan Márquez bukan sahaja memadam pesaing, malah menundukkan mentaliti generasi baharu membuktikan era ‘Raja Litar’ itu masih belum berakhir. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






