PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 19 September depan sebagai tarikh pengurusan kes membabitkan penyanyi, Naim Daneil yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu dimaklumkan peguam mewakili Naim, iaitu Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique ketika ditemui di luar perkarangan Mahkamah Sesyen di sini, pada kira-kira jam 9.25 pagi.
“Pada hari ini ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen di mana pihak pembelaan sudah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan. Tarikh seterusnya ditetapkan pada 19 September depan untuk sebutan pengurusan kes.
“Jadi, pada tarikh pengurusan kes itu, kita akan lihatlah dokumen tambahan yang akan diserahkan oleh pihak pendakwaan jika ada,” katanya.
Sementara itu, Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, berkata bersyukur kelancaran prosiding sebutan semula yang berlangsung, pagi tadi.
“Saya hadir untuk serahan dokumen saja dahulu. Alhamdulillah, semuanya lancar dan terima kasih semua yang hadir,” katanya.
Terdahulu, Naim dipercayai hadir ke mahkamah di sini sebelum jam 8 pagi, lebih awal dari pengamal media.
Pada 17 Jun lalu, Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, ketika dihadapkan ke mahkamah sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu pada jam kira-kira 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat. – BH Online –
IMedikel TV






