Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Makanan viral dan manis dipercayai menjadi antara faktor peningkatan penyakit kencing manis di negeri Kelantan, kata doktor perubatan di sebuah klinik di Jelawat, Bachok, Dr Wan Martina Wan Yusoff.
Beliau berkata trend masyarakat yang gemar mencuba makanan dan minuman viral tanpa mengira kadar gula menjadi antara punca risiko diabetes semakin meningkat di negeri ini.

“Gaya hidup individu dalam pemilihan makanan adalah antara faktor penyebab penyakit kencing manis (diabetes).
“Mereka sebenarnya sudah tahu ia (makanan tersebut) boleh menyebabkan komplikasi, tetapi kesedaran untuk mengubah gaya hidup itu rendah.
“Ini kerana penyebab penyakit ini adalah berpunca daripada gaya hidup kita dan cara pemakanan kita,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada IMedikel TV pada Program Diabetes&Wound Pharmacare Workshop (DWPW), di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Azian Muhammad.
Jelasnya, individu yang berisiko mempunyai penyakit kencing manis adalah disebabkan kesukaran untuk mengawal gaya hidup mereka.

“Mereka sebenarnya tahu tetapi tidak dapat mengawal cara pemakanan atau gaya hidup. Jadi penyakit ini perlu diubah.
“Kalau hendak ubah cara masyarakat kita makan nasi tiga kali sehari dan makan makanan serta kuih yang manis, memang memerlukan satu jihad.
“Kita kena mengawal selera kita, terliur hendak makan tetapi kena lawan dan kawal,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia, berkata hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati, 16.3 peratus rakyat Kelantan menghidap diabetes atau kencing manis berbanding 15.6 peratus pada peringkat nasional.
“Jadi program ini bukan sahaja tertumpu kepada professional medikal, tetapi perlu dibawa kepada rakyat.
“Memberi pendekatan berkenaan program kesedaran kesihatan terutamanya komplikasi kencing manis ini patut kita bawa kepada masyarakat.
“Supaya mereka faham dan dapat mencegah daripada berlaku komplikasi,”katanya.
Mengulas lanjut, belia berkata sekiranya masalah itu tidak dapat ditangani, kemungkinan kadar peningkatan pemotongan kaki akan meningkat.
Beliau berharap stigma masyarakat tentang pengambilan ubat menyebabkan sakit buah pinggang perlu diperbetulkan.

“Penyakit ini kalau kita biarkan ia makin parah dan boleh menyebabkan kehilangan anggota badan serta cacat kekal.
“Ini yang rakyat tidak faham, sebab bagi mereka kalau makan ubat boleh menyebabkan sakit buah pinggang. Itu ternyata salah.
“Mereka takut hendak makan ubat kencing manis sebab jadi sakit buah pinggang. Yang sebenarnya penyebab utama penyakit kegagalan buah pinggang adalah disebabkan oleh kencing manis yang tidak dikawal.
“Apabila Hemoglobin A1C (HbA1C) melebihi 8.5 dan ke atas, akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang,”katanya.
Program DWPW yang berlangsung dua hari bermula semalam itu menghimpunkan hampir 200 peserta membabitkan doktor perubatan, jururawat, ahli farmasi dan juga penolong pegawai perubatan dari seluruh Malaysia.
IMedikel TV






