KUALA LUMPUR: Ada kisah sedih disimpan kemas pelakon Cristina Suzanne yang mungkin tidak ramai tahu, iaitu namanya pernah beberapa kali ditolak sebuah stesen penyiaran.
Memetik laporan Berita Harian, dia yang tidak tahu punca atau alasan sebenar, Cristina memilih untuk tidak mengorek cerita. Bukan kerana tidak peduli, tetapi demi menjaga hati sendiri daripada terluka.
“Bila produksi maklumkan nama saya ditolak, saya tak tanya puncanya. Saya tak nak simpan rasa sakit hati.
“Saya anggap sahaja belum ada rezeki. Saya nak hidup tenang,” luahnya saat ditemui di Balai Berita, Bangsar, kelmarin.
Ketiadaan wajah aktres berdarah kacukan Melayu-Jerman itu di kaca televisyen (TV) membuatkan ramai beranggapan dia sengaja memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada rumah tangga.
Hakikatnya, menurut pemilik nama lengkap Cristina Suzanne Stockstill, 40, seni adalah darah dagingnya sejak usia belasan tahun.
“Hasil daripada lakonanlah saya bayar bil selama ini. Tak mungkin saya tinggalkan kerjaya yang sudah jadi sebahagian hidup saya,” jelasnya.
Mengimbas kembali, Cristina pernah mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia seni demi membesarkan anak tunggalnya, Adrian Noah Faiz.
Kini, dengan Noah bakal memasuki alam persekolahan tahun depan, hatinya lebih lapang untuk kembali bekerja.
“Saya susah nak percaya orang untuk jagakan anak masa dia kecil. Masa saya pramugari dulu, ibu dan mentua bergilir-gilir menjaga Noah.
“Pernah sekali anak tidak sihat, tetapi saya tetap kena kerja, walaupun hati tak tenang di atas awan. Sejak itu, saya nekad tinggalkan kerjaya di awan biru,” kongsinya.
Kemunculan semula Cristina dalam filem Babah menjadi titik permulaan rezeki yang mengalir kembali.
Kini, dia menaruh harapan besar pada drama terbaharunya, Toksik Cinta terbitan Tonton Original yang akan menemui penonton Disember ini.
“Saya tetap pilih tawaran yang sesuai. Kalau masa kena, saya takkan tolak. Harap selepas Toksik Cinta, lebih banyak peluang untuk saya kembali menghiasi layar kaca,” ujarnya penuh harapan. – BH Online –
IMedikel TV






