Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lapan pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas 3.45kilogram (kg) dadah jenis ganja di kawasan pengkalan haram Pohon Tar, Pengkalan Kubor, di sin, pada Isnin lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, dalam kenyataan semalam memaklumkan penahanan itu dilakukan pada jam 10 malam menerusi Op Taring Wawasan.
“Batalion 8 PGA menahan lapan PATI itu apabila melihat sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Seorang suspek melarikan diri dengan menaiki perahu ke Thailand setelah menyedari kehadiran polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki dan tiga wanita warganegara Myanmar berada dalam kenderaan tersebut disyaki baru diseludup masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram,”katanya dalam kenyataan.
Jelasnya hasil pemeriksaan lanjut didalam bonet kenderaan itu menemui 250 gram ketulan tumbuhan disyaki ganja, 3.2kg bunga ganja dan beg pakaian milik suspek.
“Anggaran rampasan bernilai RM153,000 termasuk kenderaan dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
Manakala ujian saringan awal mendapati tiga suspek lelaki didapati positif dadah jenis THC (ganja).
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
IMedikel TV






