Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengesahkan gangguan bekalan air yang berlaku di Politeknik Kota Bharu (PKB) baru-baru ini berpunca daripada tekanan air rendah pada saluran paip utama milik Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Menurut JPPKK dalam satu kenyataan hari ini, gangguan tersebut berlaku susulan kerja-kerja menaik taraf sistem paip oleh AKSB di kawasan Kok Lanas dan Ketereh, yang menyebabkan paras air di tangki sedut utama PKB berada pada tahap minimum.
“Keadaan ini menjejaskan beberapa blok di kampus termasuk asrama, blok akademik dan pentadbiran.
“Bagi mengatasi masalah berkenaan, pihak PKB segera membuat laporan kepada AKSB pada 5 Ogos lalu. Susulan itu, pasukan teknikal AKSB telah tiba di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut dan menghantar lori tangki air bagi menambah bekalan sementara,”menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu sebagai penyelesaian jangka panjang, JPPKK memaklumkan projek menaik taraf sistem bekalan air di PKB akan dilaksanakan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 5 Tahun 2025.
“JPPKK komited memastikan kesejahteraan dan keselesaan warga kampus terus menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” jelas kenyataan itu.
AKSB turut mengesahkan tekanan air di kampus berkenaan kembali stabil, namun pemulihan sepenuhnya akan berlaku secara berperingkat memandangkan tangki simpanan berpusat masih dalam proses pengisian semula.
IMedikel TV






