Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45, akan menyerahkan telefon bimbitnya yang kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kepayan petang ini, menurut peguamnya.
Peguamnya Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata telefon bimbit itu mengandungi rakaman audio perbualan antara anak guam mereka dan arwah Zara yang boleh membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Tindakan ini selari dengan salah satu daripada empat permintaan yang kami kemukakan dalam surat bertarikh 5 Ogos kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Bagi membantu siasatan polis yang sedang dijalankan, anak guam kami, Noraidah, akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara beliau dan Zara kepada pihak polis petang ini di IPD Kota Kinabalu di Kepayan,”menurut kenyataan bersama peguam hari ini.
Dalam kenyataan bersama itu juga turut berharap agar tiga perkara khusus sudah dimasukkan dalam arahan tersebut.
“Kami berharap tiga perkara ini telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,”menurut kenyataan itu.
Arwah Zara adalah pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama tingkat tiga.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai lalu.
IMedikel TV






