Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Nik Hafiz Naim Nik Hassan meletakkan jawatan sebagai Presiden Kelantan Red Warriors (KRW) berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata keputusan itu susulan beberapa isu yang timbul berkaitan beliau dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kontroversi membabitkan pemilikan saham Kelantan FC.

“Dengan keputusan ini, saya harap dapat meredakan situasi semasa dan memudahkan perjalanan skuad KRW dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2024-26.
“Perjuangan saya sudah sampai ke objektif, tiba masa maju ke hadapan dengan misi yang lain,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman perletakan jawatannya di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Justeru, baginya KRW umpama bayi yang baru lahir, namun kini sudah berjaya mencapai pencapaian yang membanggakan termasuk mempunyai jurulatih berpengalaman dari Liga Super, Irfan Bakti Abu Salim selain dapat menaikkan KRW hingga meraih lapan juta tontonan di media sosial dalam tempoh dua bulan.
“Skuad KRW akan beralih pemilikan kepada Nasken Coffee dan diterajui oleh Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar,” katanya.
Sementara itu, menurut Wan Mohd Fajarulekram, beliau akan meneruskan revolusi yang sudah digerakkan dengan pemantauan rapi terhadap setiap penambahbaikan pasukan.

“Kita akan pastikan sokongan dan harapan daripada peminat tidak akan terkubur.
“Nama dan logo TRW akan tetap dikekalkan,” katanya.
IMedikel TV






