KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan segala persiapan atlet yang akan bertanding di Sukan SEA 2025 tetap diteruskan meskipun ketika ini sedang berlaku pergolakan di Thailand bersama Kemboja.
Memetik laporan menerusi Harian Metro menterinya, Hannah Yeoh berkata, barisan atlet tidak perlu risau dan boleh fokus kepada latihan harian mereka bagi memastikan prestasi di temasya dwitahunan itu berada di tahap terbaik.
Katanya, pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa di negara berkenaan dan yakin apa yang terjadi ketika ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Kami berharap hal ini dapat diuruskan dengan cepat oleh negara terbabit kerana ketika ini, ia menimbulkan rasa tidak yakin (dari segi keselamatan) dalam kalangan banyak atlet.
“Tetapi MSN sentiasa mengikuti perkembangan di luar negara termasuk dengan Kementerian Luar untuk mengetahui apa yang terjadi.
“Buat masa ini, tiada apa-apa yang berubah, segala perancangan yang diatur sebelum ini untuk Sukan SEA akan berjalan seperti biasa,” katanya pada Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.
Tambah Hannah, pihak kerajaan termasuk barisan Kabinet sentiasa peka dengan isu berkenaan dan akan membantu agar konflik itu dapat diselesaikan dengan baik.
“Kita tahu ramai bimbang dengan keadaan ini tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melakukan yang terbaik untuk berbincang dengan (pemimpin) kedua-dua negara.
“Semalam juga ada perkembangan dan perbincangan daripada Kabinet mengenai perkara ini. Kami mempunyai jaminan keselamatan dalam arena ini dan kami yakin Sukan SEA akan berlangsung pada Disember nanti,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






