LONDON: Morgan Gibbs-White menolak tawaran Tottenham dan akan kekal bersama Nottingham Forest – selepas campur tangan pemilik Forest, Evangelos Marinakis.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian jutawan dari Greece itu terbang ke kem latihan pasukan di Portugal untuk bersemuka dengan Gibbs-White, yang ketika itu dalam perancangan menyertai Spurs menerusi perpindahan bernilai 60 juta pound (RM339 juta).
Namun, Marinakis berjaya meyakinkan pemain antarabangsa England itu dengan menyatakan betapa pentingnya dia kepada Forest serta perancangan besar kelab untuk masa depan.
Gibbs-White, 25, kini sudah menandatangani kontrak baharu dengan gaji lebih baik yang dilanjutkan sehingga tahun 2028 di City Ground – satu tamparan hebat kepada Tottenham dan pengerusi eksekutifnya, Daniel Levy.
Spurs sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 60 juta pound (RM339 juta) awal bulan ini, menyebabkan Forest berang dan mempertimbangkan tindakan undang-undang.
Namun selepas lebih dua minggu tanpa penyelesaian, Marinakis tampil membuat keputusan tegas untuk menyelesaikan isu itu.
Gibbs-White tidak menyertai skuad Forest ke Algarve pada peringkat awal atas sebab peribadi, tetapi menyusul kemudian minggu lalu.
Marinakis tiba sebelum perlawanan persahabatan menentang Fulham pada malam Sabtu dan terus mengadakan pertemuan dengan Gibbs-White.
Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan kesungguhan untuk terus membangunkan Forest menjadi pasukan lebih besar dan lebih kuat, serta keinginan menjadikan Gibbs-White sebagai tunjang utama projek tersebut.
Difahamkan, Gibbs-White sangat terkesan dengan semangat dan visi jangka panjang Marinakis sehingga bersetuju untuk tidak meneruskan perpindahan ke Tottenham.
Kontrak baharu pemain itu dipercayai tidak mengandungi sebarang klausa pelepasan.
Mengesahkan kontrak baharu itu menerusi satu hantaran di platform X (dahulu Twitter), Forest menulis: “Satu kenyataan jelas daripada pemilik kami Evangelos Marinakis, apabila Morgan Gibbs-White menandatangani kontrak rekod di kelab sehingga musim panas 2028.”
Sementara itu, Gibbs-White turut menyuarakan keterujaannya.
“Saya berasa seperti di rumah sendiri sejak pertama kali tiba di Forest.
“Sokongan daripada penyokong, rakan sepasukan dan semua di kelab ini sangat luar biasa.
“Saya percaya dengan apa yang sedang kami bina di sini – dan dengan sokongan Marinakis serta cita-cita besarnya, saya mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa.
“Saya sangat teruja dengan masa depan yang menanti,” kata Gibbs-White. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






