Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Rata-rata wanita sentiasa berusaha menjaga kesihatan faraj. Malah pelbagai produk dan pencuci wanita sudah digunakan oleh wanita.
Mengikut amalan nenek moyang kita dahulu, terdapat satu kaedah yang sering digunakan untuk menjaga alat sulit wanita iaitu kaedah bertangas.
Mungkin kaedah itu sudah kurang popular pada masa sekarang, tetapi masih ramai yang melakukannya dengan cara moden.
Mengikut laporan menerusi hellodoktor, bertangas adalah satu proses ‘mandi wap’ herba untuk mengurangkan masalah keputihan, melancarkan aliran haid, membantu masalah kedinginan seks serta mengecutkan rahim bagi wanita yang baru bersalin.
Selain itu mengikut portal pantang plus, terdapat dua cara bertangas iaitu tangas kering dan tangas basah.
Antara kebaikannya adalah dapat membantu ibu bersalin melancarkan pengaliran darah nifas, mengeluarkan toksin, serta membantu melangsingkan tubuh.
Herba-herba terpilih yang digunakan juga dipercayai dapat mengelakkan kekenduran rahim, serta mempercepatkan kesembuhan pada luka jahitan selepas bersalin.
Bahan yang digunakan untuk tangas kering adalah:
- Serbuk manjakani
- Daun inai
- Kunyit hidup
- Jintan hitam
- Halba
- Garam kasar
- Limau nipis
- Asam gelugur
Caranya adalah panaskan batu sungai atau batu tanah liat di atas dapur, kemudian alaskan daun sirih dalam periuk atau mangkuk tanah. Letakkan semua ramuan yang telah ditumbuk halus ke atas batu yang dipanaskan dan masukkan ke dalam periuk. Sedia untuk digunakan.
Manakala bagi tangas basah, bahan – bahannya adalah:
- Halia
- Biji atau serbuk manjakani
- Daun sirih
- Garam kasar
- Lengkuas
- Jintan hitam
- Serai wangi
- Halba
Cara-caranya adalah dengan merebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Seeloknya rebuskan di dalam periuk tanah dan gunakan kerusi khas atau sediakan tempat bertangas yang sesuai.
Tempoh masa bertangas adalah selama 15 hingga 30 minit.
Amalan bertangas bukan sahaja membantu merawat wanita selepas bersalin, tetapi ia juga menawarkan pelbagai khasiat kepada wanita bujang.
Imedikel TV






