BACHOK: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima sebanyak 12,417 aduan berkaitan penganiayaan dan kebajikan haiwan sejak 2021 hingga 10 Julai lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr Akma Ngah Hamid berkata, aduan itu membabitkan pelbagai jenis haiwan ternakan termasuk kucing, anjing dan sebagainya.
“Sebanyak 249 kes direkodkan pada 2021 manakala 1,249 kes pada 2022 dan 1,580 pada 2022.
“Sebanyak 2,533 kes sudah diterima tahun ini setakat 10 Julai lalu berbanding 4,133 kes pada 2024,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan 2025 dan Pendaftaran Kad Pengenalan Kuda di Resort Sri Nipah di Bachok, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah JPV Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob.
Katanya aduan tersebut akan disiasat mengikut Akta kebajikan haiwan 2015 (akta 772).
Dr Akma berkata mereka yang didapati bersalah tidak memenuhi keperluan haiwan boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak kurang RM15,000 hingga RM75,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
Katanya bagi kesalahan penganiyaan haiwan, individu terbabit boleh didenda RM20,000 sehinggan RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengulas lanjut pihaknya mahu memberi kesedaran dan menitik berat mengenai kebajikan haiwan yang dipelihara.
“Kami ingin menegaskan bahawa kesedaran terhadap kebajikan haiwan adalah tanggungjawab bersama semua pihak pelbagai lapisan masyarakat.
“Perasaan kasih, ihsan dan belas terhadap haiwan perlu dipupuk dari kecil lagi dan disokong dengan persekitaran yang cenderung dengan nilai-nilai positif,”katanya.
Dalam masa yang sama beliau berkata program itu bertujuan mempromosikan tanggungjawab menyediakan tanda pengenalan bagi pemilikan haiwan melalui kad pengenalan dan mikrocip di mana program pemasangan mikrocip untuk kud dan pendaftaran kad pengenalan kuda turut diadakan bagi hampir 100 ekor kuda.
“Bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu “Pemilik Prihatin, Haiwan Terjaga” yang menumpukan kepada usaha mempromosikan kebajikan haiwan di Malaysia dan menjadikan pemilikan haiwan bertanggungjawab sebagai amalan masyarakat,”katanya.