Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki kini terlantar akibat serangan angin ahmar dan hanya mampu berkomunikasi melalui ketawa dan tangisan dengan isterinya, Natrah Ibrahim, 46, yang setia menjaga di sisi.
Roslan Abdul Samad, 50, dari Kampung Pulau Gorek, Pantai Cahaya Bulan, di sini, diserang penyakit itu sejak 11 tahun lalu selepas kedua anak pertama dan ketiganya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Menurut isterinya, Natrah, sejak itu, dia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi menyara anak-anak dan suaminya.

“Sebelum ini suami saya bekerja sebagai nelayan. Namun pada bulan Ogos 2014, dia diserang angin ahmar selepas lima bulan kami kehilangan kedua anak lelaki tersayang.
“Mungkin dia terlalu berfikir selepas kejadian itu menyebabkan dia diserang penyakit tersebut.
“Pada awal diserang angin ahmar, dia masih boleh duduk, namun sejak empat tahun lalu dia terlantar dan tidak mampu bercakap, hanya mampu ketawa dan menangis sahaja,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di rumahnya, semalam.
Menurut Natrah, kini dia bekerja mewarna batik dengan pendapatan RM20 sehari bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya sebelum keluar bekerja, dia akan menguruskan suami terlebih dahulu.
“Biasanya saya keluar kira-kira jam 10.30 pagi dan pulang selepas Zohor. Sebelum itu saya akan memandikan suami dan memberi dia makan dan minum.
“Sementara saya keluar bekerja, anak perempuan tunggal kami Nurul Sakila, 27, akan datang ke rumah untuk menjaga ayahnya,”katanya.
Natrah berkata tiga lagi anaknya masih belajar iaitu Hanif Firdaus, 23, kini menyambung pengajian di sebuah Kolej Vokasional, manakala Amirul Afiq, 10, dan Ashraf Ikma, 8, kini masih bersekolah rendah.
Natrah menyifatkan suaminya adalah seorang yang baik dan kelakar.
“Dia memang baik dengan saya dan anak-anak. Ada sahaja gurauan dia bersama kami. Namun kini dia hanya mampu ketawa dan menangis.
“Jauh di sudut hati saya untuk melihat dia kembali sihat namun saya perlu reda dengan ketentuan Allah,”katanya.
Menurut Natrah, suaminya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.
“Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya kerana masih ada tiga anak yang bersekolah dan memerlukan perhatian saya sebagai ibu.
“Lagipun suami saya memakai lampin pakai buang. Dia hanya minum air susu kotak perisa strawberi dan kuih-kuih lembik,”katanya.
Sementara itu, Aktivis Solo Asnaf Hunter, Pok Ku turut berkunjung ke rumahnya dengan memberi sedikit sumbangan barang keperluan asas.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Natrah boleh terus menghubungi Asnaf Hunter di talian 018-9097507.
IMedikel TV






