Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah mengemukakan permohonan untuk membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Chiku, Gua Musang bagi mengatasi masalah kelewatan maklum balas apabila berlaku kemalangan di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pemilihan lokasi di Chiku adalah kerana kedudukannya yang terletak di pertengahan antara Gua Musang dan Kuala Krai, sekali gus mampu mempercepatkan respon pasukan bomba terhadap sebarang kejadian kecemasan di kawasan tersebut.

“Sekiranya berlaku kemalangan di kawasan Galas dan Chiku, respons daripada bomba sedikit lambat. Jadi kita mengambil pengajaran daripada kemalangan yang berlaku di Gerik dan Jeli dan kita pun sudah mengangkat permohonan untuk membina BBP di Chiku.
“Walaupun risiko kebakaran atau kecemasan rendah di kawasan Chiku dan Galas tetapi sekiranya berlaku kecelakaan, kebakaran atau kemalangan respons amat jauh sebab yang ada hanyalah BBP Gua Musang dan Kuala Krai yang jaraknya sejauh 117kilometer (km),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan, di Tunjong, di sini hari ini.
Katanya, cadangan tersebut diangkat kepada peringkat tertinggi pada tahun ini dan berharap mendapat pertimbangan daripada kerajaan.
“Walaupun daerah Chiku mempunyai penduduk adalah tidak tinggi dan pembangunan rendah tetapi dengan risiko sekiranya berlaku kecemasan respons adalah lambat dan itu adalah jalan utama yang menghubungkan antara Gua Musang ke Kota Bharu yang biasanya digunakan oleh pengguna jalanraya,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya permohonan itu diluluskan, BBP Chiku bakal menjadi balai bomba yang ke 23 di negeri ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan bendera kepada pengurus sukan bomba yang akan bertanding di Pahang, selain menerima sumbangan peralatan daripada Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) berupa kelengkapan dapur dan barangan yang boleh digunakan di balai bomba.
IMedikel TV






