Home Buletin Semasa KPDN SERBU RESTORAN GUNA LOGO HALAL TANPA KELULUSAN

KPDN SERBU RESTORAN GUNA LOGO HALAL TANPA KELULUSAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebuah premis restoran makanan di sini dikenakan tindakan selepas dikesan menggunakan logo halal tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa.

Serbuan dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan kira-kira jam 11 pagi kelmarin hasil maklumat awam berhubung pemaparan logo halal tanpa sijil perakuan sah.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah melanggar Perintah 8(a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, dan tindakan lanjut diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Antara yang dirampas termasuk salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), pelekat dan kain rentang yang tertera logo atau perbahasan halal tanpa kelulusan. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM50.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau operasi penguatkuasaan itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai sebahagian usaha bersama dalam Pemantauan dan Penguatkuasaan Penyalahgunaan Logo Halal.

Tambah Azman, KPDN Kelantan akan terus melaksanakan Ops KITA GEMPUR dalam membanteras ketirisan, penyelewengan serta penyalahgunaan dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan tidak beretika.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here