Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Cubaan menyeleweng bahan api bersubsidi, di sini digagalkan menerusi satu operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Pasir Mas bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.48 pagi itu dilakukan selepas pihak penguat kuasa mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel ke dalam tong jerikin di sebuah stesen minyak di kawasan sempadan.
“Pemandu terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa. Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui empat tong jerikin mengandungi anggaran 100 liter diesel di tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Katanya kenderaan jenis Isuzu Trooper berwarna biru turut dirampas dalam operasi itu, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM10,164.
Menurut Azman, pihak PGA turut menyerahkan dua lagi kes berasingan kepada KPDN Pasir Mas yang membabitkan rampasan sejumlah 60 liter petrol yang disimpan di dalam tong serta tangki kenderaan.
“Nilai rampasan bagi kedua-dua kes itu dianggarkan RM7,143.00.
“Kesemua rampasan kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,”katanya.
Operasi ini adalah sebahagian daripada langkah berterusan kerajaan dalam membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan, khususnya bahan api bersubsidi di kawasan sempadan yang berisiko tinggi.
KPDN turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan hak rakyat terhadap bekalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati secara sah.
IMedikel TV






