Home Luar Negara HARGA EMAS TERUS MELONJAK

HARGA EMAS TERUS MELONJAK

297
0

BENGALURU: Harga emas melonjak untuk hari keempat berturut-turut pada Isnin, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh dua bulan susulan pertempuran semakin sengit antara Israel dan Iran sekali gus mendorong pelabur beralih kepada aset selamat (safe-haven).

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, setakat jam 10.46 pagi (0246 GMT), emas di pasaran spot meningkat 0.3 peratus kepada AS$3,442.09 (RM14,618.56) seauns selepas mencapai paras tertinggi sejak 22 April pada awal sesi.

Niaga hadapan emas Amerika Syarikat (AS) turut meningkat 0.3 peratus kepada AS$3,461.90 seauns (RM14,702.69).

Penganalisis pasaran kanan Asia Pasifik di OANDA, Kelvin Wong berkata, konflik Israel-Iran ketika ini, mendorong permintaan terhadap emas sebagai aset selamat.

“Kini berlaku penembusan jelas melepasi paras AS$3,400 (RM14,439.80) dan trend kenaikan jangka pendek kekal utuh.

“Kita melihat paras rintangan seterusnya pada AS$3,500 (RM14,864.50) dan berkemungkinan mencatat paras tertinggi baharu melepasi angka itu,” katanya.

Emas sering menjadi pilihan pelabur ketika berlaku ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Pelabur turut menantikan keputusan dasar monetari bank pusat minggu ini dengan tumpuan utama kepada Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijadual mengumumkan keputusannya pada Rabu.

Fed dijangka mengekalkan kadar faedah manakala pasaran meneliti sebarang petunjuk mengenai kemungkinan pemotongan kadar pada bulan mendatang.

Data inflasi yang sederhana minggu lalu mengukuhkan jangkaan pasaran terhadap dua pemotongan kadar menjelang akhir tahun, kemungkinan bermula seawal September.

Sementara itu, harga perak spot kekal stabil pada AS$36.29 (RM154.12) seauns, platinum meningkat 0.4 peratus kepada AS$1,233.87 (RM5,240.25) seauns manakala paladium melonjak 1.3 peratus kepada AS$1,040.96 (RM4,420.96) seauns.

Israel dan Iran melancarkan serangan baharu pada Ahad yang menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap konflik serantau yang lebih meluas.

Kedua-dua pihak turut menasihatkan orang awam untuk berwaspada terhadap kemungkinan serangan susulan. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here