Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan terus memperhebat pemantauan dan pelaksanaan Zon Agihan Minyak Masak Paket 1kg sebagai langkah memastikan pengedaran barang kawalan tersebut dilakukan secara lebih tersusun dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pelaksanaan zon itu membantu mengelakkan penumpuan bekalan di kawasan tertentu sahaja, di samping memastikan semua premis pasar raya dan kedai runcit berdaftar menerima bekalan secara adil berdasarkan keperluan penduduk setempat.
“Sebanyak 45 pasar raya dan 20 operator Program Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negeri dikenal pasti sebagai penerima bekalan berkala yang dibekalkan 15 syarikat pembungkus minyak masak.
“Langkah ini khusus bagi menjamin ketersediaan dan capaian berterusan minyak masak subsidi, terutamanya untuk kegunaan isi rumah golongan B40 di peringkat daerah, parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),”katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata bagi memastikan pelaksanaan zon agihan berjalan lancar, KPDN turut mengadakan sesi advokasi bersama pengedar, pasar raya dan peruncit supaya agihan dibuat mengikut kawasan ditetapkan dan mengelakkan sebarang aktiviti pembelian secara borong semula atau penyelewengan bekalan.
“Pemantauan secara berkala termasuk lawatan tapak ke pusat pengedaran dan premis jualan akan terus dijalankan bagi memastikan bekalan mencukupi dan tidak berlaku penyalahgunaan,”katanya.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan aduan sekiranya mendapati premis menjual minyak masak paket melebihi harga kawalan atau gagal menyediakan stok yang sepatutnya.
KPDN menegaskan bahawa zon agihan bukanlah satu bentuk sekatan, sebaliknya merupakan langkah kawalan untuk memastikan pengagihan lebih adil, telus dan terkawal demi kebajikan pengguna.
IMedikel TV






