KUALA LUMPUR: Jalil Hamid, 68, bimbang selepas gagal mendapatkan perkembangan isteri, Haryati Sariat yang mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci Makkah, seharian kelmarin, didakwa berpunca daripada talian telekomunikasi yang tersekat-sekat.
Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun, Jalil atau nama sebenar, Abdul Jalil Abdul Hamid lega selepas isterinya itu berjaya dihubungi, kira-kira jam 3 petang, semalam.
“Selepas mendapat tahu mengenai cuaca panas yang semakin meningkat di Makkah, saya cuba hubungi isteri untuk mendapatkan perkembangan terkini, tetapi, tidak berjaya.
“Saya sudah cuba hubungi isteri dari semalam (kelmarin) tetapi talian tidak berapa baik dan tersekat-sekat. Selepas seharian menanti, , baru petang tadi (semalam) saya dapat bercakap dengan dia.
“Tetapi saya terkejut kerana isteri beritahu dia demam. Mendengar itu, saya mula susah hati, Saya berdoa supaya isteri diberi kesihatan yang baik dan segera sembuh,” katanya ditemui pada majlis tayangan perdana filem Laknat di sini, malam tadi.
Jalil sepatutnya bersama isteri berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat Haji, namun, terpaksa berputih mata disebabkan masalah kesihatan.
Berkongsi lanjut mengenai kesihatan Haryati, Jalil berkata, selain demam, isterinya mengalami bengkak pada kaki.
“Bengkak terjadi disebabkan isteri perlu berjalan sejauh tiga kilometer (km) dari hotel ke Masjidil Haram. Kebetulan, isteri ada ketumbuhan pada pada tumit kaki.
“Keadaan itu menambahkan lagi kesakitannya,”katanya.
Sementara itu, Jalil mengakui agak keberatan untuk hadir ke majlis tayangan perdana filem Laknat disebabkan risau dengan keadaan isteri di Makkah.
“Namun, selepas dapat bercakap dengan isteri dan rasa lega, saya putuskan untuk hadir dan sertai rakan pelakon lain.
“Kebetulan anak tidak sibuk, jadi saya minta dia temankan ke majlis ini sebab saya tidak boleh memandu,” katanya lagi.
Selain Jalil, filem Laknat yang mendapat sentuhan sutrdara Saw Teong Hin menampilkan Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Noorkhiriah, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Mila Mohsin serta Ismail Yaacob.
Diedarkan oleh D’Ayu Picture, filem Laknat bakal menemui penonton di pawagam mulai 5 Jun ini. – BH Online –
IMedikel TV






