MADRID: Pengurus baharu Real Madrid, Xabi Alonso berhasrat untuk mengekalkan Rodrygo yang disifatkannya sebagai ‘pemain hebat’ di kelab itu, meskipun menerima tawaran daripada Arsenal dan Chelsea.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Meytro, Rodrygo, 24, dikaitkan secara meluas dengan perpindahan keluar dari Bernabeu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pemain Brazil itu membuat 51 penampilan bersama Real Madrid musim ini, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 267 perlawanan sejak menyertai kelab itu dari Santos pada 2019.
Rodrygo menjadi antara pemain sayap paling konsisten di Eropah sepanjang tiga musim lalu dan dia dikhabarkan menarik minat dua pencabar Liga Perdana (EPL), Arsenal dan Chelsea.
Mikel Arteta berhasrat memperkukuh posisi sayap musim panas ini selepas Arsenal terpaksa akur di tangga kedua buat musim ketiga berturut-turut dan gagal meraih sebarang trofi buat musim kelima berturut-turut.
Rodrygo dipercayai menjadi sasaran utama Arsenal, namun nilai perpindahan yang tinggi mendorong kelab itu turut mempertimbangkan Kaoru Mitoma dan Bryan Mbeumo sebagai alternatif yang lebih murah.
Chelsea turut meminati Rodrygo dan berhasrat memperkukuh skuad bimbingan Enzo Maresca selepas jurulatih itu berjaya membawa The Blues kembali ke Liga Juara-Juara (UCL) dengan menamatkan saingan di tempat keempat EPL.
Pengendali baharu Real Madrid, Alonso, ketika bercakap pada majlis pengenalan rasminya di Bernabeu, memberi bayangan beliau akan bergantung sepenuhnya kepada Rodrygo musim depan.
“Rodrygo ialah pemain Real Madrid,” kata bekas pengurus Bayer Leverkusen itu. “Dia seorang pemain yang hebat dan kami akan memerlukannya.”
Real Madrid melantik bekas pemain tengah Los Blancos dan Liverpool, Alonso, sebagai pengurus baharu selepas pemergian legenda kelab, Carlo Ancelotti.
Ancelotti meninggalkan Bernabeu untuk mengambil alih skuad kebangsaan lelaki Brazil menjelang Piala Dunia tahun depan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






