Home Luar Negara KEBAKARAN, BANJIR MEMAKSA RIBUAN PENDUDUK KANADA BERPINDAH

KEBAKARAN, BANJIR MEMAKSA RIBUAN PENDUDUK KANADA BERPINDAH

124
0

MONTREAL: Rekod cuaca panas selama seminggu di barat Kanada memaksa ribuan penduduk berpindah dari kediaman, ketika kebakaran hutan melanda beberapa bahagian di Alberta dan salji yang cepat cair mencetuskan banjir di seluruh pedalaman British Columbia.

Menjelang Jumaat, lebih 13,000 orang berada di bawah arahan pemindahan di Alberta, ketika 78 kebakaran marak. Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah wilayah Little Red River Cree Nation, yang terdiri daripada tiga komuniti di utara wilayah itu, yang mana kebakaran Fox Lake seluas 1,458 hektar memusnahkan 20 rumah dan balai polis.

Keseluruhan 7,000 penduduk Lembah Drayton, 140 km di barat ibu kota wilayah Edmonton, juga diarah berpindah pada lewat malam Khamis.

Pipeline Corp, yang mengendalikan saluran paip pengumpulan minyak di rantau ini, berkata ia telah mengaktifkan tindak balas kecemasan dan proses pengurusan insiden dan “menilai sebarang kesan operasi semasa atau yang dijangkakan.”

Tiada kesan yang dilaporkan terhadap pengeluar minyak dan gas.

Terdapat 348 kebakaran hutan di Alberta tahun ini dan lebih 25,000 hektar terbakar, kata Christie Tucker, pengurus unit maklumat untuk Alberta Wildfire.

“Ia menyaksikan lebih banyak aktiviti kebakaran berlaku tahun ini berbanding sebelum ini,” kata Tucker pada sidang media sambil menambah kebakaran dijangka meningkat.

“Ia akan menjadi lebih panas, ia akan menjadi lebih berangin dan kami menjangkakan beberapa siri kebakaran hutan yang melampau. Anggota bomba bersedia hari ini untuk menghadapi hari yang amat mencabar,” katanya.

Di British Columbia, air sungai melimpah, membanjiri kawasan kediaman dan memaksa penutupan lebuh raya di banyak komuniti di seluruh pedalaman wilayah, termasuk Cache Creek dan Grand Forks.

Dengan ramalan hujan lebat, kerajaan British Columbia menggesa masyarakat bersedia menghadapi lebih banyak banjir pada hujung minggu.

“Suhu panas di pedalaman mempercepatkan proses pencairan salji dan menyebabkan peningkatan tekanan pada sungai dan anak sungai.

“Keadaan dijangka bertambah buruk apabila hujan dan petir diramalkan pada Jumaat dan Sabtu yang meningkatkan kemungkinan banjir,” kata Kementerian Pengurusan Kecemasan dalam satu kenyataan.

Sumber: BH Online & REUTERS

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here