Home Buletin Semasa ENAM LELAKI TEMPATAN DITAHAN, DISYAKI TERLIBAT SINDIKET PENYELUDUPAN MIGRAN

ENAM LELAKI TEMPATAN DITAHAN, DISYAKI TERLIBAT SINDIKET PENYELUDUPAN MIGRAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Enam lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu selepas disyaki menjadi sindiket penyeludupan migran di Kampung Kubang Sepat, di sini, pada Jumaat.

Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan yang dilakukan pada jam 5.30 petang itu adalah hasil risikan selama dua minggu oleh Unit Risikan Sempadan Imigresen (URS) dengan kerjasama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Malaysia.

“Enam lelaki tempatan yang ditahan itu disyaki bertindak sebagai penghantar dan penjaga rumah transit.

“Selain itu, kami turut menahan seramai 35 warga asing membabitkan 18 lelaki dan 10 wanita serta lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan warga Myanmar,” katanya dalam kenyatan, pada Jumaat.

Beliau berkata, semua warga asing terbabit berumur lingkungan tiga hingga 53 tahun dan mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala, enam lelaki lagi disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang sama kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran secara terancang.

Jelas beliau, lima kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktviti penyeludupan turut dirampas membabitkan nilai RM300,000 selain wang tunai sebanyak RM820 dan Thai Bhat 10,000 turut dirampas.

“Kejayaan operasi ini menunjukkan JIM terus komited membanteras aktiviti penyeludupan manusia dan memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan sempadan.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha risikan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras rangkaian sindiket yang menyalahgunakan laluan sempadan negara,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang serta tindakan tegas akan diambil jika didapati mendalangi mereka.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here