Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kesinambungan pemberian nama-nama keturunan seperti Wan, Che dan Nik yang melambangkan asal-usul dan warisan keluarga semakin terputus dalam kalangan generasi baharu pada masa kini.
Penyelaras Sekretariat Syaikh Jumadil Kubra, Syahrizal Abd Samat berkata ini kerana kesan daripada sejarah penjajahan kolonial yang telah menutup kebenaran tentang leluhur terhadap keturunannya.

“Sejarah-sejarah kita sudah dibutakan oleh penjajah sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran dan kehebatan nenek moyang kita serta tidak kenal siapa mereka satu ketika dahulu.
“Inilah kerja-kerja penjajah pada 100 tahun lepas,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas Program Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra, di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini, hari ini.
Menurutnya, program tersebut mampu mengumpulkan kembali mereka yang tergolong daripada kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra yang mempunyai nasab, ilmu dan rohani serta ahli khidmat di bawah naungan Syaikh tersebut.
Jelasnya, menerusi program itu, lebih 2,000 kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra yang hadir dari seluruh negara.

“Ini merupakan julung kali dibuat di Malaysia dan Kelantan adalah negeri yang dipilih untuk mengambil ibrah kehadiran Syaikh Jumadil Kubra.
“Hampir 90 peratus kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra ada di Kelantan sebab ramai yang mempunyai nama keturunan Wan, Cik, Tengku, Raja dan Nik di sini, sebab itu kita memilih untuk melaksanakannya di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Syahrizal berharap pihaknya dapat mengembalikan semula bangsa Nusantara kepada ketauhidan, kekeluargaan dan jati diri iaitu peradaban dan ketamadunan seperti nenek moyang mereka pada suatu ketika dahulu.
IMedikel TV






