Home Buletin Semasa KELANTAN GESA KDN PASANG BIOMETRIK CCTV DI SEMPADAN, KEKANG ISU DADAH

KELANTAN GESA KDN PASANG BIOMETRIK CCTV DI SEMPADAN, KEKANG ISU DADAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan biometrik kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkasakan sempadan Malaysia-Thailand bagi memudahkan pihak polis mengesan pengedaran dadah di sempadan negeri ini.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, selain itu beliau turut mengusul beberapa cadangan lain yang dilihat boleh mengekang aktiviti pengedaran dadah di sempadan.

“Saya ingin mengusul beberapa cadangan kepada pihak KDN terutamanya mungkin wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas – Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Kota Lama – Dr Hafidzah Mustakim dan ADUN Nenggiri – Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani boleh tolong sampaikan kepada pihak berkenaan.

“Selain mewujudkan biometrik CCTV, kami juga bercadang untuk penambahan dron biometrik kamera bagi mengesan pergerakan  pengedar yang merentasi sempadan.

“Selain itu perlu segera wujudkan pengimbas (proper scanner) di pintu masuk sebab sekarang berdasarkan maklumat majoriti bahan-bahan terlarang ini masuk melalui pintu utama, kalau dulu melalui pangkalan haram sekarang masuk melalui pintu utama dan ianya gagal dikesan disebabkan tidak ada proper scanner,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau difahamkan perkara itu sudah dalam perancangan cuma disebabkan terdapat beberapa faktor logistik membabitkan jambatan kedua dan pembesaran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menyebabkan ada sedikit penangguhan.

“Cuma semasa kunjung hormat bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, pada 26 Mac lalu, pihaknya ada meminta permohonan untuk pengimbas mudah alih (mobile scanner), jadi kita memohon pihak KDN agar dapat mempercepatkan mobile scanner di sempadan Kelantan-Golok,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar menyekat penjualan dadah secara atas talian.

“Usaha menyeluruh dan bersunggu-sungguh perlu dilakukan untuk menyekat penjualan secara atas talian kerana banyak dadah baru dijual termasuk yang banyak digunakan pelajar sekolah iaitu magic mushroom.

“Jadi perlu tindakan yang serius atau satu pendekatan yang mampan untuk mengelakkan perkara ini berterusan.

“Dan demi menjamin keseriusan dan kesungguhan kerajaan pusat untuk menangani isu dadah ini kalau kita tengok tadi peningkatan hampir 50 peratus dalam tempoh lapan tahun (2015 hingga 2024) peruntukan tambahan juga perlu untuk kempen kesedaran dadah di peringkat nasional.

“Saya sebagai Pengerusi PEMADAM Kelantan berharap agar Kerajaan Pusat dapat menambah peruntukan bagi kempen kesedaran dadah,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here