Home Buletin Semasa KELANTAN TELITI KEAHLIAN MPEN, PERKASA STRATEGI EKONOMI

KELANTAN TELITI KEAHLIAN MPEN, PERKASA STRATEGI EKONOMI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang dalam proses untuk mengenalpasti dan mengemaskini keahlian Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) sebagai suatu ‘Think tank Group’ berkaitan pembangunan ekonomi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, berkata kerajaan negeri sentiasa mengamalkan keterbukaan dalam menerima pandangan bernas daripada pakar dan golongan profesional, melalui
pelbagai saluran termasuk sesi kunjungan hormat serta taklimat khas secara rasmi.

Katanya setiap buah fikiran yang dikemukakan akan diteliti dan dibincangkan bersama jabatan serta agensi berkaitan, sebagai asas penambahbaikan dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.

“MPEN Kelantan ditubuhkan sebagai satu badan bagi mendapatkan pandangan dan nasihat dari pakar-pakar ekonomi dalam pelbagai bidang mengenai dasar, strategi serta program ekonomi dan pembangunan.

“Kepakaran serta pengalaman luas daripada perspektif global yang dimiliki dalam bidang masing-masing ini diharapkan dapat menyumbang kepada kemantapan pencapaian Negeri Kelantan menerusi pandangan dan syor yang komprehensif bagi merangka strategi model ekonomi baru yang lebih berkesan dalam menuju ke arah negeri Maju yang berpendapatan tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Pengkalan Pasir), Mohamad Nasriff Daud@Daud Yatimee berkenaan cadangan untuk mewujudkan satu “Think Tank Group” yang terdiri daripada anak Kelantan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membantu Kerajaan dalam semua aspek pembangunan insan dan fizikal di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here