Home Buletin Semasa SARINGAN AWAL CEGAH PENYAKIT GLAUKOMA – JKNK

SARINGAN AWAL CEGAH PENYAKIT GLAUKOMA – JKNK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menggesa orang ramai agar tampil membuat saringan awal bagi kesihatan mata untuk membendung penyakit glaukoma yang berisiko terjadi tanpa disedari.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, beliau terus proaktif dalam usaha membendung penyakit glaukoma dengan menganjurkan sambutan Minggu Glaukoma Sedunia sebagai platform meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit senyap itu.

“Sepanjang minggu glaukoma ini, kita ingin menyebarluaskan maklumat berkaitan glaukoma dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan pentingnya membuat saringan awal kerana glaukoma ini tidak mempunyai tanda-tanda.

“Sekiranya pesakit sudah berada pada peringkat yang lewat, kita risau ia boleh menyebabkan kebutaan kerana ia boleh merosakkan saraf pada mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Minggu Glaukoma Sedunia, di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Katanya, penyakit glaukoma menghadapi peningkatan jumlah kes Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sejak tahun 2021 hingga 2024.

“Kita melihat ada peningkatan kes dari tahun 2021 hingga 2024 di kedua-dua hospital berkenaan iaitu daripada jumlah 2536 kepada 3767 namun dari segi saringan itu kita perlu tingkatkan usaha kita,” katanya.

Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia itu bertemakan “Uniting for a Glaucoma-free World” dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Oftalmologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ Il).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah yang merasmikan program tersebut.

Hilmi berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif kerajaan dalam melaksanakan kempen berkenaan bagi melahirkan kesedaran awal dalam diri masyarakat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here