Home Luar Negara PALING BANYAK HUKUMAN MATI DILAKSANA PADA 2024 DALAM TEMPOH SEDEKAD

PALING BANYAK HUKUMAN MATI DILAKSANA PADA 2024 DALAM TEMPOH SEDEKAD

LONDON: Jumlah individu yang dihukum mati pada tahun lalu adalah yang tertinggi dalam tempoh hampir sedekad iaitu 1,518 kes sepanjang tahun lalu.

Amnesty International memaklumkan, daripada jumlah yang dinyatakan itu, tiga negara paling banyak melaksanakan hukuman mati adalah Iran, Iraq dan Arab Saudi.

Katanya, ran, Iraq dan Arab Saudi menyumbang 91 peratus daripada semua hukuman mati yang diketahui pada 2024, dengan peningkatan ketara di ketiga-tiga negara menjadi pemacu utama lonjakan global.

Mengulas lanjut, Iran menyumbang 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaksanaan hukuman mati iaitu sekurang-kurangnya 972 orang dihukum bunuh, jumlah itu meningkat lebih 100 kes berbanding tahun sebelumnya.

Arab Saudi pula menggandakan jumlah hukuman mati daripada 172 kes kepada sekurang-kurangnya 345, manakala Iraq hampir empat kali ganda daripada sekurang-kurangnya 16 kepada 63 kes, menurut laporan itu.

Dalam laporan tahunan mengenai hukuman mati, pertubuhan hak asasi manusia itu menyatakan jumlah itu adalah tertinggi sejak 2015 apabila 1,634 pelaksanaan dicatatkan.

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding 2023.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk ribuan kes hukuman mati yang dipercayai dilaksanakan di China yang kekal sebagai negara tertinggi dalam pelaksanaan hukuman mati serta Korea Utara dan Vietnam, kata Amnesty.

Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard berkata, walaupun masih terdapat kerahsiaan dalam beberapa negara yang dipercayai menjalankan ribuan hukuman mati, jelas bahawa negara masih mengekalkan hukuman mati kini adalah kumpulan minoriti terpencil.

“Hukuman mati adalah satu jenayah kejam yang tidak mempunyai tempat dalam dunia masa kini,” katanya.

Buat tahun kedua berturut-turut, pertubuhan itu mendapati bilangan negara yang masih melaksanakan hukuman mati kekal 15 negara, iaitu yang paling rendah pernah direkodkan.

Dalam pada itu, Amnesty turut mendakwa terdapat negara yang menjadikan hukuman mati sebagai ‘senjata’ untuk menindas penunjuk perasaan dan kumpulan etnik tertentu.

Sebagai contoh Iran, katanya, terus menggunakan hukuman mati terhadap peserta demonstrasi ‘Wanita, Kehidupan, Kebebasan’ yang diadakan pada 2022, termasuk terhadap seorang remaja yang mempunyai kecacatan mental.

Arab Saudi pula didakwa terus menggunakan hukuman mati untuk menyekat suara penentang politik dan menghukum anggota minoriti Syiah di negara itu.

Tambah Callamard, individu yang berani mencabar pihak berkuasa berdepan hukuman paling kejam, khususnya di Iran dan Arab Saudi, apabila hukuman mati digunakan untuk menyekat kelantangan mereka yang berani bersuara. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here