Home Politik URUS PERBEZAAN PANDANGAN SESAMA KEPEMIMPINAN PARTI DENGAN MATANG

URUS PERBEZAAN PANDANGAN SESAMA KEPEMIMPINAN PARTI DENGAN MATANG

176
0

KUALA LUMPUR: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menganggap perbezaan pandangan adalah lumrah dalam politik khususnya dalam kalangan pemimpin partinya.

Namun, katanya perkara itu mesti diuruskan dengan matang agar matlamat dipersetujui bersama tidak terjejas.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga menyatakan perbezaan sesama pemimpin dalam parti hanya akan menjadi ancaman antara satu sama lain.

“Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat dan personaliti. Itu biasa dalam mana-mana pasukan.

“Yang penting ialah bagaimana kita urus perbezaan itu. Bincang dengan matang, hormat pandangan orang lain dan kekal fokus pada matlamat bersama.

“Jangan biarkan perbezaan jadi punca serangan peribadi atau konflik dalaman. Sikap demikian hanya melemahkan pasukan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Teguran itu dipercayai merujuk pergeseran antara pemimpin UMNO Sabah membabitkan Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Memetik laporan media, perselisihan itu tercetus selepas Bung Moktar menegur tindakan Abdul Rahman yang menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Ketua Menteri Sabah ke majlis perasmian mesyuarat UMNO Tuaran pada Jun tahun lalu, sebagai tidak tepat dan silap.

Abdul Rahman mempertahankan tindakan itu sambil menegaskan ia adalah hak UMNO Tuaran yang diketuainya untuk menjemput sesiapa saja ke perasmian mesyuarat.

Difahamkan, ini bukan kali pertama kedua-dua pemimpin itu bertelagah kerana sebelum ini Abdul Rahman pernah membantah pelantikan Bung Moktar sebagai pengarah jentera parti sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Selain itu, berlaku perselisihan terkait pemilihan rakan kerjasama untuk PRN Sabah yang dijadual berlangsung pada tahun depan apabila ‘Kem Bung’ didakwa cenderung memilih Parti Warisan (WARISAN), termasuk ada dalam kalangan beberapa pemimpin parti dikatakan membuat pengumuman lebih awal.

Lantas Abdul Rahman menempelak pemimpin tertentu dalam parti yang bertindak mengumumkan kerjasama politik bersama WARISAN yang dikatakan melanggar arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak membuat sebarang kenyataan sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Mengulas lanjut, Salleh berharap agar sebarang pandangan dalam parti hendaklah dibuat secara membina serta penuh kehormatan.

Beliau berpandangan bahawa perpaduan dalaman yang terbentuk bukan bermaksud semua perlu diam, sebaliknya pemimpin perlu tunjuk contoh dengan mendengar pandangan, membabitkan semua dan menyelesaikan perbezaan dengan cara positif.

“Sikap penting diri atau ego berlebihan harus ditinggalkan kerana ia boleh merosakkan semangat pasukan.

“Organisasi yang kuat bersatu atas matlamat bersama, hargai sumbangan semua dan bina rasa kekitaan dalam pasukan.

“Politik bukan soal siapa berkuasa tapi bagaimana kita boleh satukan semua untuk capai matlamat bersama. Bila kita bersatu, kita lebih kuat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here