Home Luar Negara KELUARGA MANGSA MH370 DI CHINA MAHU AKHIRI SEDEKAD PENDERITAAN

KELUARGA MANGSA MH370 DI CHINA MAHU AKHIRI SEDEKAD PENDERITAAN

170
0

BEIJING: Ahli keluarga penumpang warga China yang hilang dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 berkumpul di Beijing semalam, bagi menuntut jawapan daripada pihak berkuasa.

Selepas 11 tahun kehilangan pesawat itu menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan, keluarga mangsa terus menderita tanpa mengetahui apa sebenarnya nasib orang tersayang mereka.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 orang hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sekitar 75 peratus daripada penumpangnya adalah rakyat China, manakala selebihnya berasal dari Malaysia, Indonesia, Australia, dan beberapa negara lain.

Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan sudah dilakukan, namun pesawat itu masih belum ditemui.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, mengumumkan syarikat penerokaan maritim Ocean Infinity akan menyambung semula usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Ahli keluarga mangsa bagaimanapun mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkembangan pencarian baharu itu dan terkilan kerana seolah-olah dipinggirkan selepas 10 tahun berlalu.

Keluarga yang masih bersedih turut berkumpul di sebuah persimpangan di hadapan Kedutaan Malaysia di Beijing, namun jalan menuju ke lokasi itu disekat oleh sekurang-kurangnya 20 pegawai polis.

Mereka yang hadir melaungkan slogan ‘Kembalikan orang yang kami sayangi’ dan memegang sepanduk bertulis ‘Bilakah penantian dan penderitaan selama 11 tahun ini akan berakhir?’

Kawasan sekitar lokasi perhimpunan dikawal ketat oleh pihak berkuasa, dengan pegawai polis menghalau wartawan dan memberi amaran supaya tidak mengambil gambar perhimpunan berkenaan.

Laporan akhir mengenai tragedi itu yang diterbitkan pada 2018 mendedahkan kelemahan dalam kawalan trafik udara dan menyatakan bahawa laluan pesawat diubah secara manual.

Salah seorang waris mangsa, Cheng Liping, berharap China dapat berkomunikasi lebih banyak dengan Malaysia bagi mencari kebenaran.

“Semua orang masih terperangkap dalam kesakitan. Apa yang sebenarnya berlaku masih tidak diketahui,” katanya.

Suaminya berada di Malaysia untuk penggambaran filem sebelum menaiki MH370 untuk pulang ke China, apabila pesawat itu hilang.

Ketika ditanya apa yang ingin disampaikan kepada suaminya jika diberi peluang, Liping yang juga ibu kepada dua anak lelaki, berkata ‘terlalu banyak yang ingin dikatakan’.

“Saya hanya berharap, tidak kira di mana anda berada, anda sihat, dan kita boleh bersatu semula tidak lama lagi,” katanya. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here