KUALA KRAI: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap dua pemilik kedai perabot selepas mereka mengaku bersalah memiliki bingkai gambar yang mengandungi kesalahan ayat al-Quran pada Ogos tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Liakathali Sharif, 64, dan Wan Zuraini Abd Rahim, 23, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Mengikut pertuduhan, Liakathali didakwa memiliki 24 bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz dan empat unit peranti zikir yang mengandungi kesalahan ayat mengikut Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah premis perniagaannya di Jalan Kuala Krai, pada jam 11 pagi, 26 Ogos tahun lepas.
Sementara itu, Wan Zuraini pula didakwa secara berasingan memiliki lima bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat di sebuah premis perniagaannya di Jalan Ah Seng, di sini pada masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (Pindaan 2023) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding, Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim dan Mohd Runaim Sulaiman memohon hukuman setimpal terhadap mereka sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati dalam menjual barangan yang mengandungi ayat suci al-Quran.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hafizah Hanafi merayu hukuman ringan dikenakan memandanngkan kedua-dua anak guamnya tidak mengetahui bahawa barangan yang dijual mengandungi kesalahan ayat al-Quran.
“Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Mahkamh menjatuhkan hukuman denda RM1,500 setiap seorang atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun kedua-dua mereka membayar denda berkenaan.