Home Buletin Semasa KUATKUASA AKTA KETERANGAN SAKSI KANAK-KANAK

KUATKUASA AKTA KETERANGAN SAKSI KANAK-KANAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan bahawa Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] mula berkuat kuasa pada hari ini bersamaan 3 Mac 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said dalam satu kenyataan, berkata akta tersebut adalah untuk memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai tahun lalu.

“Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

“Sehubungan dengan itu, beberapa akta berkaitan yang turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan, termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]; Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949]; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747]; dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77],”menurut kenyataan itu, hari ini.

Katanya dengan pindaan itu, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

“Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan.

“Kerajaan MADANI tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan. Usaha ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child),”katanya.

Jelasnya pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024, adalah antara bukti nyata iltizam Kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata salah satu perubahan utama dalam pindaan ini adalah penambahan Seksyen 6A, yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

“Proses pelantikan bagi jawatan-jawatan ini kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasa serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here