Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Kadet Merpati Komuniti MADANI dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih bagi menangani penipuan dan jenayah siber seiring dengan nama gelaran yang diberi.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, kadet tersebut ditubuhkan di bawah setiap Komuniti MADANI bagi memperkasakan lagi gerak kerja Komuniti MADANI untuk bergerak dengan lebih pantas dan dapat menyebarluas maklumat yang betul serta tepat kepada masyarakat.
“Di Kelantan ini khususnya di Bachok kita jenamakan Kadet Merpati di bawah setiap Komuniti MADANI yang telah dipadankan dengan setiap NADI untuk berkhidmat atau ikhtiar dengan lebih cemerlang lagi dalam menyebarluas fungsi NADI.
“Kita mulakan di Bachok dan selepas ini akan digerakkan ke lokasi-lokasi seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kadet Merpati Komuniti MADANI x NADI Daerah Bachok Siri 1/2025 di NADI Beris Kubor Besar, di sini, hari ini.
Muhd Nor Aswadi berkata, antara kempen utama yang bakal dilaksanakan oleh Komuniti MADANI bersama NADI pada tahun ini adalah Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian agar masyarakat tidak terjerumus menjadi mangsa penipuan dalam talian, buli siber dan judi dalam talian.
“Peranan Komuniti MADANI yang berada di seluruh negeri adalah perlu sama-sama mengingatkan masyarakat supaya tidak terus menjadi mangsa dan perlu tahu bagaimana kaedah-kaedah yang perlu diambil sekiranya didekati oleh penipu-penipu ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan semua Komuniti MADANI untuk membantu mempromosikan aktiviti NADI kepada masyarakat.
Beliau berharap Komuniti MADANI dapat menyalurkan maklumat hingga ke akar umbi khususnya menggunakan dialek yang lebih mudah difahami.
IMedikel TV






