Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) mengambil inisitiaf untuk memberi sumbangan kepada golongan B40 termasuk mangsa banjir.
Timbalan Sekreteriat Kerajaan Madani Parlimen Tumpat, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani, berkata sumbangan yang diberikan adalah sebanyak 6,600 unit beg sekolah.
“Beg itu diserahkan kepada penghulu untuk 66 mukim di seluruh parlimen Tumpat. Setiap mukim akan mendapat 100 beg yang akan kita agihkan kepada penerima yang sudah disenaraikan oleh JPKKP di peringkat mukim.
“Untuk makluman juga di Tumpat terdapat lebih 2600 pelajar baru untuk tahun 1 dan kebanyakannya adalah pelajar yang terdiri daripada keluarga B40 termasuk mangsa banjir dan seumpanyanya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan 6,600 Beg Sekolah Kepada JPKKP Parlimen Tumpat, di Dewan Datuk Haji Noor Zahidi, di sini, hari ini.
Katanya kos dianggarkan sebanyak RM198,000 untuk sumbangan tersebut.
“Kos terbabit adalah untuk 33 buah sekolah di daerah ini termasuk sekolah rendah dan menengah.
“Kita mengharapkan dengan bantuan yang diusahakan oleh JPKKP di peringkat parlimen Tumpat ini mampu untuk meringankan sedikit beban ibu bapa terutamanya untuk sesi permulaan persekolahan tahun ini.
“Dan kita juga mengharapkan program ini akan bertambah baik untuk tahun seterusnya dan mendapat sokongan dan bantuan terutama kerajaan kita kerana ini adalah atas usaha pimpinan di Tumpat untuk mewujudkan bantuan ini,”katanya.
Menurutnya penyerahan sumbangan itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Hadir sama Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tumpat, Zamakh Sari Ibrahim.
IMedikel TV






