Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Menjadi seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang seorang wanita dalam mengusahakan pembuatan bunga sabun sejak 30 tahun lalu.
Wanita itu dikenali Ruhana Mohamed Noor, 64, dari Kampung Kuala Pertang Baru, di sini menjadikan gubahan bunga berwarna warni itu sebagai sumber pendapatan.

“Saya mengusahakan perniagaan gubahan bunga ini selepas mengalami kemalangan di tempat kerja sehingga mengakibatkan kaki kanan saya terpaksa dipotong dan berpisah dengan bekas suami,”katanya kepada pemberita.
Menurutnya disebabkan itu dia berusaha untuk bangkit dan di diperkenalkan oleh rakannya untuk gubahan bunga sabun sekaligus melakukan beberapa uji cuba untuk mendapatkan hasil terbaik dalam membuat kelopak bunga menggunakan sabun.
“Bukan sekali dua saya mencuba untuk mendapatkan hasil seperti sekarang, tetapi sudah banyak kali sehingga berpuas hati.
“Antara bahan yang saya gunakan adalah sabun mandi, tepung jagung, gam, cuka, losyen, pewarna dan minyak bayi (baby oil) untuk gubahan bunga sabun,”katanya.
Katanya keistimewaan bunga yang diperbuat daripada sabun ialah ia berbau wangi dan mampu bertahan lama berbanding bunga yang diperbuat daripada botol plastik yang tidak berbau.
Menurut Ruhana setiap gubahan bunga sabun dijual pada harga RM10 hingga RM80 bergantung kepada permintaan pelanggan.
Tambahnya bunga sabun yang diusahakan mendapat permintaan tinggi terutama ketika sambutan Hari Guru, konvokesyen serta majlis perkahwinan.

“Dalam sehari saya mampu menyiapkan sehingga 200 kuntum bunga dan dibantu oleh anak tunggal, Ayu Sofea Fauzi,”katanya.
Dalam pada itu, dia berkata setiap gubahan yang dibuat dipromosikan melalui status WhatsApp dan juga di media sosial Facebook serta TikTok.
Dia juga bersyukur kerana bunga sabun gubahannya mendapat permintaan dan sambutan di seluruh negara sehingga ke Singapura.
IMedikel TV






