Home Sukan LAPAN TERATAS HAMPIR DALAM GENGGAMAN ASTON VILLA

LAPAN TERATAS HAMPIR DALAM GENGGAMAN ASTON VILLA

LEIPZIG, Jerman: Gol pada minit ke-85 menerusi Ross Barkley membantu Aston Villa menang 3-2 di RB Leipzig awal pagi tadi, melonjakkan pelawat ke tangga ketiga Liga Juara-Juara sekali gus mencerahkan peluang mereka berakhir dalam kelompok lapan teratas.

Villa mendahului selepas 153 saat terima kasih kepada John McGinn, tetapi Leipzig menyamakan kedudukan pada pertengahan babak pertama apabila Lois Openda menghukum kesilapan benteng pertahanan.

Gol menakjubkan Jhon Duran pada minit ke-53 bagaimanapun dipadamkan oleh jaringan Christoph Baumgartner sembilan minit kemudian, memberi peluang kepada pemain gantian Barkley untuk merembat masuk hanya dua minit selepas dimasukkan.

Gol itu, percubaan jarak jauh yang tertampan, adalah yang pertama buat Barkley dalam Liga Juara-Juara dan Villa berada di landasan baik untuk berakhir dalam kelompok lapan teratas sekembalinya mereka ke pertandingan utama Eropah itu selepas 41 tahun.

McGinn memberitahu laman sesawang UEFA gol itu “berasa bagus, kerana sudah agak lama saya tidak menjaringkan gol.

“Saya fikir dalam tempoh 90 minit kami pasukan yang lebih bagus – jaringan Leipzig bertentangan dengan arus perlawanan.”

“Itulah peranan pemain di bangku simpanan,” kata Barkley kepada Amazon Prime. “Saya gembira untuk tampil dari bangku simpanan dan menjaringkan gol kemenangan.”

“Ia semuanya dikira, bukan?” kata Barkley mengenai jaringan kemenangannya yang terbias.

Pasukan berakhir dalam kelompok lapan teratas layak secara automatik sekali gus mengelak tambahan dua aksi play-off. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here