KONSERT Hitam Manis bakal menyaksikan tiga penyanyi hebat tanah air iaitu Datuk Hattan, Hazama dan Black bergabung dalam persembahan yang akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen KLCC pada 8 Februari tahun depan.
Apa yang menarik, konsert anjuran Reacch Events ini akan menjadi persembahan berskala besar pertama, sekali gus membuka tirai 2025.
Hattan berkata, dia gembira kerana dapat kembali berkongsi pentas bersama Hazama dan Black.
“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik dari generasi yang berbeza.
“Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan kami nanti,” katanya.
Bagi Hazama pula, dia sangat teruja kerana dapat berganding dengan Hattan dan Black dalam konsert berkenaan.
“Konsert ini sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” katanya.
Sementara itu, Black berkata, konsert itu akan menjadi satu perjalanan yang epik.
“Ini bukan hanya sekadar konsert tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami juga tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” katanya.
Konsert Hitam Manis menjanjikan sebuah persembahan yang dinamik, menampilkan gabungan lagu-lagu hits daripada setiap penyanyi serta kolaborasi eksklusif yang pastinya akan menarik peminat.
Ia dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta gabungan yang eksklusif antara Hattan, Hazama dan Black.
Dengan kepelbagaian gaya muzik yang ditawarkan, konsert ini dijangka menarik perhatian pelbagai generasi peminat muzik tanah air. -HMetro Online-
IMEDIKEL TV






