Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Perkara yang tertangguh di negeri ini adalah masalah banjir di Rantau Panjang dan Narathiwat yang berpunca dari muara sungai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatnya, Srettha Thavisin akan masalah tersebut.
“Selagi muara sungai itu tidak digali limpahan air akan terkesan di Kelantan dan sekitar Narathiwat, Sungai Golok.
“Dan tahun demi tahun masalah itu berlaku. Antara puncanya ialah ia tidak diurus kerana tidak dibersihkan dengan baik,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Lawatan Kerja ke Rantau Panjang Kelantan dan Sungai Golok, Thailand, di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, pada Sabtu.

Beliau berkata kedua-dua negara Malaysia dan Thailand mendukung usaha damai tersebut.
“Sebaik diselesaikan di peringkat teknikal kita akan sediakan kewangan yang cukup untuk terus membersihkan sungai supaya tidak menjadi timbunan yang menyekat pengaliran air ke laut dan menyebabkan banjir.
“Bagi saya masalah yang besar di Rantau Panjang adalah masalah banjir dan sebab itu kita bagi keutamaan.
“Oleh kerana hubungan kita baik dengan Thailand, mereka juga minta supaya kita memberi kerjasama supaya mendukung usaha damai secara berkesan. Dan kita telah beri komitmen dan apa sahaja yang perlu sama ada dari sudut keselamatan, ekonomi, sosial dan pendidikan,”katanya.
IMedikel TV






